Wednesday, September 1, 2010

ISLAM DIHINA....SALAH SIAPA?

Assalamualaikum...


Islam agama pengganas, islam melahirkan pengganas, islam kolot, islam agama mundur dan bermacam-macam lagi istilah yang dilabelkan keatas islam oleh musuh islam khususnya dari barat. Al-Quraan menyeru orang islam ke jalan keganasan(JIHAD) .Kitab Al-Quraan adalah ciptaan Muhammad dan bermacam-macam lagi momokan ke atas islam sehingga menyesakan dada kita umat islam mendengarnya. Salah siapa?


Salah siapa sehingga menyebabkan agama yang luhur ini dicemar sedemikian rupa? Saya tidak mahu mengaitkan golongan kafirun dalam hal ini kerana itu memang menjadi kerja mereka dan kita sememangnya tidak boleh mengharapkan golongan ini untuk menjaga urusan agama kita.

Apa yang hendak saya tekankan disini ialah, apakah peranan kita didalam memelihara kesucian agama yang di amanahkan oleh Allah kepada kita? Apakah kita betul-betul telah melaksanakan tanggungjawab kita dalam memelihara dan menjaga agama suci ini dari diinjak-injak dengan sewenang-wenangnya oleh musuh islam.

Bukankah kita yang sepatutnya mempertahankan agama kita dari diserang oleh musuh-musuh islam? Bukankah kita yang seharusnya menjadi sebaik-baik contoh kepada yang bukan islam untuk mereka berjinak-jinak dengan islam seterusnya menarik minat mereka memeluk agama suci ini?

Jika diteliti situasi hari ini, kitalah yang dilihat menyebabkan pelbagai persepsi buruk yang dilabelkan ke atas agama kita ini. Kita sendiri yang menjadi punca agama islam dipandang serong dan dihina. Ini kerana kita tidak mencerminkan keperibadian keseluruhan islam itu sendiri. Apa yang disarankan oleh islam tidak kita ikuti sepenuhnya sebaliknya kita lebih rela mengikuti system yang berpaksikan dari barat itu sendiri.


Kita dilihat sentiasa tidak boleh bersatu dan bertelagah sesama kita. Di Negara timur tengah contohnya, sentiasa ada peperangan merebut kuasa , merebut wilayah atau kerana mempertahankan suku bangsa.Kita lihat peperangan Iran Iraq yang berlanjutan beberapa tahun. Kita lihat juga krisis kepimpinan yang berlaku diantara Fatah dengan Hammas, begitu juga yang terjadi diantara puak Taliban dengan pemerintah Afghanistan sehingga mengundang campurtangan barat yang dilihat lebih mendatangkan kerosakan.

Tidak kurang juga yang terjadi di negara kita sendiri dimana pergeseran diantara parti-parti poltik yang dikatakan memperjuangkan islam dilihat terlalu agresif menghentam sesama mereka. Ada yang dilihat juga cuba meraih simpati dari parti yang bukan islam untuk menyokong parti mereka sedangkan dasar mereka dengan begitu jelas tidak ingin menegakan syiar islam itu sendiri. Yang jelas kita hanyalah dijadikan bahan sindiran dan ejekan lantaran kelesuan kita untuk bekerjasama.





Seringkali terpanpang didada-dada akhbar di negara kita tentang gejala sosial yang semakin berleluasa, tidak kiralah yang melibatkan para remaja mahu pun golongan dewasa. Sebilangan besarnya adalah dari kalangan orang islam sendiri. Sebagai contohnya kes-kes sumbang mahram, kes-kes bersekedudukan tanpa nikah, kes-kes pembuangan bayi dan bermacam-macam lagi yang majoritinya dari kalangan kita.



Kehidupan masyarakat kita yang tidak mengenal halal haram juga dilihat sebagai penyumbang persepsi negative terhadap islam malah ada dikalangan kita yang dilihat lebih kebaratan dari barat itu sendiri. Pergaulan bebas sehingga melampaui batas susila, berjudi dan meminum arak, rasuah sana sini yang seolah-olah telah menjadi kelaziman. Semuanya dijuarai oleh kita yang beragama islam. Secara tidak sedar kitalah “pengkhianat” agama sebenarnya.

Walaupun tulisan ini agak keras namun itulah realiti yang kita umat islam hadapi hari ini. “ Kerana nila setitik rosak susu sebelanga” janganlah dek kerana perbuatan segelintir dari kalangan kita menyebabkan kesucian agama kita ternoda.

Marilah kita bangkit menyucikan segala kekotoran yang terpalit pada agama kita. Marilah kita bekerjasama demi membuktikan bahwa islam itu agama perpaduan. Jadikan diri kita contoh ikutan untuk menarik manusia kepada islam agama kebenaran.


"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu,dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahanitu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

H.R. Abu Daud

No comments: