Saturday, September 18, 2010

Masjid Kampung Hulu




Assalamualaikum...

Hari ini hampir separuh hari dihabiskan dengan mencari barang permaianan yang dihajati oleh anak-anak. Setelah puas direngek dan melihat muka sayu mereka, maka berangkatlah kami tiga beranak ke sekitar bandar Melaka mencari barang yang dihajati sementara Ummi mengemas rumah dek kelecah selepas sarapan.

Kami melewati kawasan kampung Hulu yang mana terletaknya masjid yang tertua di Malaysia iaitu Masjid Kampung Hulu. Kurang setengah jam menginjak ke waktu zohor, kereta di "parking" dan kami turun menuju ke Masjid.Kelihatan beberapa kelompok orang telah berada di kawasan masjid,mungkin datang berkeluarga.

Terletak di kawasan yang sibuk dengan aktiviti pemborongan, menjadikan masjid Kampung Hulu agak terasing berbanding dengan deretan kedai-kedai borong milik tauke-tauke cina.

Hati berasa rimas bercampur sayu mengenangkan tempat penyebaran islam tertua ditenggelami oleh kedai-kedai agam yang majoritinya milik bukan islam. Sampai bila ia boleh bertahan? Ditambah dengan senario politik tanah air masa kini, memang kegusaran hati ini dilihat berasas! Mungkin disebabkan ia masjid yang sangat-sangat tesohor maka masih ramai lagi orang yang berkunjung lebih-lebih lagi mereka yang "berhajat"


Kami ke kolah masjid untuk berwuduk. Kelihatan beberapa orang sedang sibuk memenuhkan botol-botol kosong dengan air kolah masjid. Di sudut kolah yang lain, dua orang gadis berbaju lengan pendek dan bertudung ala-ala artis juga sibuk mengisi botol-botol yang dibawa dengan air kolah masjid. Mereka lantas beredar apabila botol-botol telah terisi air kolah walhal azan akan menerjah beberapa detik lagi.

Mulut terkumam, hati membumkam. Memang telah sedia maklum akan gelagat-gelagat mereka yang datang "berhajat" ke masjid ini cuma yang agak beratnya apabila ditanya oleh si anak untuk apa air kolah masjid itu diambil. Apa yang pasti mereka-mereka ini memang "dahaga", dahaga akan cahaya keimanan!

Mereka lebih rela berhajat pada makhluk ciptaan daripada berhajat kepada Pencipta makhluk itu sendiri. Walhal pintu rahmah cuma selangkah jaraknya dan diwaktu Sang Khaliq sedang bersedia mendengar rayuan si hamba.

Itulah delima masyarakat islam kita pada hari ini. "Kepercayaan" mengatasi kepatuhan. Kepatuhan yang sepatutnya tidak berbelah bagi kepada apa yang telah disyariatkan.


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


Berbahagialah bagi mereka yang tetap dalam bersolat. Itulah yang dipinta 17 kali sehari. Moga terhindar murka ilahi dan dari jalan mereka yang sesat!

Seusai berjemaah, kami bergegas meninggalkan masjid menuju ke kereta untuk menyambung kembali pencarian yang belum berjumpa!

Sedikit info tentang Masjid Kampung Hulu:

Masjid Kampung Hulu merupakan sebuah masjid yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka dalam daerah Melaka Tengah, Melaka.

Dibina dalam tahun 1728, Masjid Kampung Hulu di Melaka adalah masjid paling tua di Malaysia yang masih digunakan dan berada di tapaknya yang asal. Masjid ini terletak di persimpangan Jalan Masjid Kampung Hulu dan Jalan Masjid di Melaka, dalam kawasan yang kini dipenuhi kedai-kedai yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina.

Masjid ini dibina oleh oleh penduduk-penduduk tempatan dengan pembiayaan Belanda semasa penjajahan Melaka oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (singkatannya V.O.C.). Masjid ini dibina adalah kesan daripada perubahan dasar oleh pemerintah Belanda, yang mengutarakan dasar kepelbagaian pegangan agama. Sebelum kedatangan kaum Belanda pada tahun 1624, penjajah Portugis telah, sejak tahun 1511, memusnahkan peninggalan rumah-rumah ibadat bukan Kristian di Melaka. Antara yang dimusnahkan oleh Portugis adalah masjid yang pertama dibina di Melaka, yang kononnya terletak bertentangan dengan tapak Stadhuys sekarang.

Pemerintah Belanda telah menugaskan Kapitan untuk mengetuai penduduk tempatan dalam pembinaan tempat ibadat mereka, Dato' Samsuddin Bin Arom, seorang pendatang dari China yang telah memeluk Islam, [1] ditugaskan pemerintah Belanda untuk membina Masjid Kampung Hulu. Binaan asal kemudiannya diperbaiki oleh Sheikh Al Omar bin Hussain Al-Attas.

Penjajah Belanda juga menggalakkan kepelbagaian budaya di kalangan penduduk, dan ciri-ciri senireka masjid dari tanah Jawa telah dimasukkan di dalam senireka Masjid Kampung Hulu. Masjid ini mempunyai bumbung berlapis 3, dengan bentuk seakan-akan piramid. Ruang di antara lapisan-lapisan bumbung ini membolehkan kemasukan udara dan cahaya ke dalam masjid. Mereka percaya bahawa lapisan paling atas bumbung masjid bererti `iman manusia kepada tuhan’, lapisan kedua, `hubungan manusia dengan manusia’ dan ketiga membawa maksud `alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan Pencipta’.

Struktur bumbung disokong oleh 4 tiang seri di tengah-tengah masjid, yang kemudiannya membawa kepada tiang-tiang penyokong yang lain. Walaupun senireka masjid ini dipengaruhi oleh senireka Jawa, Masjid Kampung Hulu tidak dibuat daripada kayu seperti masjid-masjid di Jawa, sebaliknya dibuat menggunakan bata dan batu. Masjid ini juga mempunyai tembok rendah yang memagarkan kawasan masjid.

Seperti banyak masjid yang dibina di Melaka pada zaman itu, hiasan dengan pengaruh Cina digunakan untuk menghiasi masjid ini. Bahan-bahan seperti jubin seramik dan jubin lantai daripada kerajaan China Dinasti Ching juga digunakan. Motif-motif menghiasi tepian kubah masjid. Menara batu menunjukkan ciri senireka Melaka pada masa itu, dan dipengaruhi oleh rekabentuk pagoda orang Cina. Ukiran dan seni bina masjid menggunakan faktor alam semulajadi. Pengaruh tumbuh-tumbuhan menjadi kriteria utama seni bina dan ukiran pada bahagian dinding dan bumbung masjid-masjid berkenaan. Pada hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayur, mahkota dan awan larat.

Masjid ini adalah antara 777 bangunan bersejarah disenaraikan oleh Archnet.


Info Dari Wikipedia

No comments: