Thursday, August 26, 2010

Salam Takziah Buat Mr.Raquib.

Assalamualaikum...


Kedatangan hari isnin tempoh hari disambut dengan kehadiran e-mail sedih dari seorang sahabat yang juga merupakan pensyarah di tempat aku bekerja. Beliau merupakan seorang pensyarah dari luar Negara. Mula mengenali beliau sejak tahun 2002 iaitu semasa aku masih bertugas di bahagian peperiksaan lagi. Kini aku telah bertukar kebahagian fakulti yang sama tempat di mana beliau mengajar. Di fakulti kami, beliau dikenali sebagai seorang yang peramah dan baik sekali.


Semasa aku didalam rawatan, beliau selalu datang memberi kata-kata perangsang agar aku tabah dan sabar menghadapi penyakit yang sedang aku alami. Setiap kali kami berjumpa, tidak pernah lekang dari mulutnya kata-kata semangat dan doa untuk aku dan seisi keluarga.


Kini beliau perlu memberikan kata-kata semangat dan perangsang itu kepada anak perempuanya sendiri yang berusia 15 tahun yang telah disahkan oleh doktor menghidapi penyakit kanser tulang yang serius. Itulah satu-satunya anak yang beliau ada. Aku terkedu tatkala menerima e-mail dari beliau. Aku tidak dapat bayangkan betapa remuknya hati seorang bapa apabila satu-satunya anak yang dia ada disahkan mengidap penyakit yang amat digeruni oleh semua orang yang mana masih belum ditemui penawarnya hingga kini.


Tetapi apalah daya kita sebagai hamba selain dari menyerahkan segala-galanya kehadrat Ilahi. Sesungguhnya Dialah mengatur dan mentadbir setiap kejadian di alam ini, Dialah sebaik-baik pentadbir dan kepadaNyalah kita akan kembali!


Begitulah selalunya,orang-orang yang baik seringkali mendapat perhatian dan ujian dari Allah S.W.T. Itulah juga salah satu cara untuk Allah mengangkat darjat hamba-hamba pilihanya. Hanyalah kedangkalan fikiran kita yang mengatakan bahawa Allah telah menghinakan kita apabila kita ditimpa satu-satu musibah. Sesungguhnya kesakitan itu sendiri merupakan sebahagian dari kasih sayang Allah kalau kita dari orang-orang yang mahu mengerti!


“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?


Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.-Surah al-Ankabut ayat 2-3.



Kepada Mr.Raquib, didoakan agar tabah menerima segala cubaan Ilahi dengan sentiasa bersangka baik akan setiap dari apa juga yang didatangkan oleh Allah kepada kita. Allah tidak akan pernah sesekali menginiayai hambaNya. Suka saya membawakan sebuah hadith dari Rasulullah S.A.W yang sangat bermotivasi iaitu;

“Aku mengagumi seorang mukmin kerana selalu ada kebaikan dalam setiap urusanya. Jika ia mendapat kesenangan, ia bersyukur ( kepada Allah ) sehingga di dalamnya ada kebaikan. Jika ditimpa musibah, ia berserah diri ( dan menjalankanya dengan sabar ) bahawa di dalamnya ada kebaikan pula” H.R Muslim.


Kepada rakan-rakan samada yang mengenali beliau atau tidak, sukalah aku menyeru marilah kita sama-sama mendoakan kesihatan buat anak perempuan beliau agar kembali sihat dan kepada Mr Raquib agar sentiasa tabah menghadapi ujian dari Allah S.W.T kerana doa kita juga dikira sebagai sadaqah di sisi Allah....Amin!