Wednesday, October 6, 2010

MANA “HATI” KITA?


Assalamualaikum...

MANA “HATI” KITA?

Hari ini saya ingin membawakan tiga senario yang pada saya perlu dinilai untuk mengukur sejauh mana kelembutan “hati” kita sebagai manusia!

Senario pertama


Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja selepas menghantar anak ke sekolah, saya perlu melalui jalan yang sama setiap hari untuk sampai ke destinasi. Kesibukan lalulintas di pagi hari memang tidak usah diceritakan lagi. Kenderaan kecil dan besar meluncur laju mengikut haluan tuan yang empunya. Bermacam ragam dan gelagat pemandu akan kita dapati.

Sampai di persimpangan berhampiran kawasan sekolah Rendah Bukit Beruang , kenderaan menjadi lebih padat di kedua-dua arah. Ketenangan memandu direntap apabila melihat kelibat seorang budak sekolah memimpin tangan si adik sedang teracah-acah hendak melintas jalan. Yang memimpin mungkin sedang berada di tahun tiga atau dua manakala yang dipimpin berada di kelas tadika mengikut dari baju yang dikenakan.

Kereta tidak dapat diberhentikan serta merta kerana bimbang kenderaan belakang pula berhenti mengejut dan mungkin akan terhentam kenderaan kita ,walaupun hati begitu meronta meminta kenderaan diberhentikan segera bagi memberi laluan kepada anak tersebut melintas jalan.

Apa yang membuatkan hati begitu ralat dan marah ialah, tidak jauh dari tempat kanak-kanak itu melintas terdapat seorang wanita juga ingin melintas jalan, mungkin baru menghantar anaknya ke sekolah barangkali. Dia kelihatan begitu tekun untuk melepaskan dirinya melintas jalan tanpa menghiraukan nasib si anak tadi yang juga ingin melintas.

Apalah salahnya jika dia pergi mendapatkan kanak-kanak tersebut dan bersama-sama menyeberangi jalan yang sedang sibuk. Apakah tega dia membiarkan anak-anak sekecil itu melintas jalan sendirian?. Apakah tidak ada perasaan cemas melihat kanak-kanak yang sebaya dengan anaknya mungkin, sedang melintas jalan. Kanak-kanak yang di usia begitu sudah pasti tidak tahu menilai tahap selamat untuk melintas jalan.

Dimanakah letaknya tanggungjawap kita sebagai seorang manusia “DEWASA” terhadap insan sekecil itu? Atau setidak-tidaknya dimanakah hilangnya perasaan keibuan kerana mungkin kita juga mempunyai anak kecil seperti itu. Walaupun mereka bukan anak kita sendiri. Cuba kita meletakan keaadaan anak kita di tempat anak kecil itu tadi. Apakah yang kita rasa bila anak kita berada didalam keaadaan bahaya begitu?

Di sudut yang lain pula, di manakah ibu bapa kanak-kanak itu sendiri? Mengapa membiarkan anak kecil kita melintas jalan sendirian. Sibuk benarkah kita sehingga membiarkan anak kita bertarung nyawa untuk menuntut ilmu. Adakah tinggi benar sifat “TAWAKAL” kita dengan menyerahkan segalanya pada taqdir? Atau.......mana “Hati” kita?

Senario kedua


Selepas solat maghrib di surau ketika sedang duduk mengikut imam berwirid, masuk satu keluarga mungkin dari luar kariah untuk menunaikan solat . Di dalam hati mengucapkan syukur apabila melihatkan orang datang singgah memakmurkan rumah Allah.

Seorang pakcik kelihatan segak berbaju melayu ala raihan dengan janggut yang dijaga rapi menampakan ciri orang yang berkredibeliti tinggi yang mungkin juga seorang uztaz barangkali. Si pak cik terus tegak untuk mendirikan solat tetapi terhenti seketika kerana dia pergi mengambil sebuah kerusi di tepi dinding dan di letakan di hadapan tempat dia bersolat.

Bagi kita yang dewasa mungkin faham akan tujuan si pakcik letakan kerusi disitu kerana untuk mengelakan kanak-kanak melintas atau bermain-main di tempat dia bersolat, tetapi apa yang terjadi ialah datang seorang kanak-kanak lalu mengangkat dan mengalihkan kerusi tersebut ketepi semula.

Mungkin kanak-kanak tersebut menyangka kerusi itu mengganggu orang yang bersolat tadi dan tak elok kerusi di letakan di ruang solat lalu dialihkanya. Dengan mendengus marah lalu si pakcik tadi mengambil semula kerusi dan meletak kembali didepanya dalam dalam keaadaan menghempas. Serentak para jemaah menoleh ke arah si pakcik tadi.

Kanak-kanak tersebut hanya tercegat kebingungan memandang pakcik tersebut. Mungkin dia tidak mengerti kenapa si pakcik berkelakuan sedemikian .Seorang jemaah cepat-cepat menarik tangan kanak-kanak tersebut dan menyuruhnya duduk kembali. Selepas bersolat pakcik tadi terus berlalu dengan tiada senyuman dan tanpa bersalaman dengan jemaah yang berada disitu.

Kenapa begitu? Kenapa begitu sombong untuk bertegur sapa dengan orang lain. Di manakah adap dan tertip kita apabila berada di rumah Allah. Memanglah surau itu untuk semua tetapi apalah salahnya kita bertegur sapa atau menghulur salam dengan ahli kariah yang sedia ada di situ. Beginikah sikap kita terhadap kanak-kanak yang tidak faham apa-apa?

Kalaupun tidak malu pada ahli kariah yang lain, malulah dengan Allah. Sudahlah kita ni datang ke tempat orang, mahu menyombong pula. Tunjukanlah sikap yang baik sesuai dengan imej yang kita bawa kerana sikap yang baik disukai oleh semua orang dan yang lebih penting disukai Allah S.W.T Atau.....mana “hati” kita?

Senario ketiga


Semasa dalam perjalanan pulang dari kerja ada terdengar di Radio IKIM satu slot ceramah oleh seorang Prof.Doktor(namanya sudah lupa) berkisar tentang masaalah rumahtangga. Bagaimana kita harus memupuk keharmonian dalam rumahtangga dan bermacam-macam permasaalahan yang timbul dalam kehidupan berumahtangga turut disentuh. Ditambah pula dengan interaksi secara lansung dengan para pendengar yang lain menjadikan slot itu bertambah menarik.

Apa yang membuatkan hati ini begitu terasa ialah apabila ia membicarakan berkenaan bagaimana kehidupan suami isteri yang apabila usia perkahwinanya mencapai 20 ke 30 tahun kelak. Adakah perasaan cinta antara suami isteri itu masih menebal sama seperti diawal perkahwinan? Atau adakah ia sudah pudar atau adakah ia sudah hilang sama sekali?

Menurut beliau, sudah pastilah kehangatan cinta seperti di waktu muda dahulu akan berkurang dan mungkin cinta itu sudah tiada, oleh itu apa yang menjadi pengikat ialah sifat “mawaddah dan rahmah” kasih dan sayang. Apa yang ada dikala itu hanyalah sifat kasihan keatas pasangan kita yang sudah lanjut usianya.

Benarlah seperti apa yang dikatakan Prof. tersebut kerana cinta itu tidak akan kekal lama sebaliknya hanyalah perasaan kasih dan kasihan yang akan menjadi peneman bagi mengukuhkan ikatan di hari tua kelak.( Ya Allah kau kekalkanlah hubungan kami dengan keredhaanMu hingga ke akhir hayat....Amin).

Dalam pada itu ingatan terus menyelinap pada sebuah laporan akhbar suatu ketika dulu berkenaan permohonan cerai seorang isteri wakil rakyat dari sebuah parti islam yang mana beliau tidak tahan dengan kekejaman yang dilakukan sang suami ke atasdirinya. Kebuasan nafsu si suami sudah mencapai tahap kebinatangan.

Isteri dipukul dan ditendang hanya kerana tidak dapat memenuhi tuntutan sex melampau sang suami. Pernah si isteri diheret dari ruang tamu hingga ke bilik hanya kerana isteri tidak dapat memenuhi tuntutan sex suami pada ketika itu kerana si isteri tidak berapa sihatpada waktu tersebut.Si isteri disetubuhi dengan cara yang kasar sekali seakan pelacur murahan dan ditinggalkan begitu sahaja apabila si suami sudah melepaskan hajatnya.

Kisah begini sungguh menyayat hati kita sebagai suami sehingga mencabar tahap kesabaran kita sebagai manusia. Kita sebagai suami turut merasa malu diatas perbuatan keji suami wanita berkenaan.

Apakah seorang isteri harus dilayan sedemikian rupa. Isteri yang selama ini berkongsi suka duka bersama kita. Isteri yang selama ini menyediakan dan mencukupkan segala keperluan kita, makan minum kita. Bukankah Nabi junjungan berpesan agar berlemah lembut terhadap isteri kita kerana sebaik-baik lelaki itu adalah lelaki yang mengasihi dan berlemah lembut terhadap isterinya.

Ya, memang diakui yang kita ada juga melakukan kekasaran terhadap isteri kita , adatlah ia didalam kehidupan berumahtangga tetapi tidaklah sehingga melampaui norma-norma kemanusiaan apatah lagi seorang yang dikenali sebagai pendokong agama.

Di mana hilangnya kasih sayang sewaktu kita mula berkahwin dulu? Kemana lenyapnya belas kasih kita sebagai insan? Ke mana perginya sifat tanggungjawap seorang suami yang sepatutnya menjadi pelindung kepada isteri kita? Atau.....mana "hati" kita?